Selasa, 2 Jun 2009

Cuti & Pemergian


Citra Kinabalu 1

watercolour 10 x 15 inci

Cerita di sebalik...

Sedulunya..pada ketika cuti sekolah pertengahan tahun..aku senang mengheret pelajar-pelajar ku membuat lawatan sambil belajar ke bandaraya Kota Kinabalu..


Tawau adalah Tawau…aku tidak mahu pelajarku melihat luasnya dunia pada konteks daerah Tawau, kerna satu hari nanti mereka akan meneroka hidup di luar sana, dan dalam pada itu mereka diharapkan bisa menepis dengan bijak pada apa yang dikatakan kejutan budaya…


Satu program adaptasi dan mensosialisasikan mereka..


Walaupun setakat melepasi sempadan Tawau ..sekurang-kurangnya mereka dapat merasai sendiri nadi kehidupan yang semakin pantas meninggalkan dunia kemunduran…


Ah! dunia sudah moden…internetkan ada...


Mungkin sahaja era maklumat boleh membawa pelajar-pelajar ini ke era hidup yang jauh melepasi sempadan… tapi tidak semua peluang dihujung jari itu dapat menyentuh hidup kebanyakan pelajar, terutama yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan maupun yang datang dari luar pendalaman…


Begitulah seadanya.....


Menerusi pandangan tingkap Koc Perdana SM Teknik Tawau..sempat ku merakamkan satu keindahan- Citra Kinabalu..dan pada saat keasyikan itu, pelajar ku riang menyanyikan lagu Sayang2 Kinabalu- mengiringi lagu dendangan Kimin Mudim si penyanyi local..jiwaku senyum


Ada riang menerobos ruang rasa pelajar kursus Fesyen ..kerna & untuk itu....


  1. Berpeluang melihat kepelbagaian pakaian kebudayaan tempatan di Sambutan Pesta Keamatan yang di sambut pada setiap 30hb -31hb Mei. Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.
  2. Belajar membuat lukisan batik di Jabatan Kraftangan Negeri Sabah.
  3. Melihat secara dekat penghasilan pakaian secara industri di Kilang Keosan, Tuaran.
  4. Melihat keindahan mini underwaterworld di Pusat kajian Merin UMS.
  5. Meniti kemesraan silaturahim yang erat.


Pemergian itu...akhirnya membuahkan catatan kenangan terindah..

sehinggalah pada satu ketika di musim cuti yang sama di tahun 2007, pemergian itu telah mencatatkan satu kedukaan yang dalam..


Al- Fatihah buat sahabatku allahyarham Rahman Pailing semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama kekasih Allah..Amin

Asmaralokaku


Meneliti asmaraloka (realiti) hidup yang penuh warna warni, membuatku takjub dengan susunan tabii dari Ilahi. Pada ruang lingkup 100 meter persegi dari satu titik diri ini berdiri, kucuba merepresentasikan hidupku…menggunakan sepicing kudrat, ku upayakan diri mengintip nilai seni tampak dari bawah tempurung yang gelap sambil menceceh jiwa pelaku seorang pendidik yang berusaha mengutip baraqah hidupnya..

Pada blog ini, intipati yang ingin disampaikan adalah berkaitan dengan perkongsian rasa, pendapat dan iringan idea, ilmu dan pengetahuan yang dipetik dan kutip dari asmaraloka hidup yang pastinya penuh rencah pada takdir hidup yang mengarah pada pengakuan kita sebagai insan khalifah dan hambaNya.

Dalam pada itu, dua watak jiwa akan saling berpautan dalam blog ini, iaitu diri ini sebagai insan guru dan pengusaha seni tampak yang terselindung, yang akan sama-sama bertarung dalam mencari tempat di satu makam capaian nilai jiwa teragung..

Semoga hidup ini sentiasa segar.